Wednesday 29 December 2010

AKU BERTANYA...ANDA MESTI MENJAWAB



Matahari terbit pagi ini
Mencium bau kencing arak dikaki langit
Melihat kali coklat menjalar kelautan
Dan mendengar dengung lebah didalam hutan
Lalu kini ya..ya sepenggalah tingginya
Dan ia menjadi saksi
Kita berkumpul disini memeriksa keadaan 

Kita bertanya
Kenapa maksud baik tidak selalu berguna
Kenapa maksud baik...maksud baik sentiasa berlaga
Orang berkata kami punya maksud baik

Dan kita bertanya
Maksud baik sudara untuk siapa 
Ya...ada yang kaya ada yang terhina
Ada yang bersenjata ada yang terluka
Ada yang duduk ada yang diduduki
Ada yang terlimpah ada yang terguras 

dan kita disini bertanya
Maksud baik sudara untuk siapa
Sudara berdiri dipihak yang mana
Kenapa maksud baik dilakukan
Tetapi mengapa makin banyak petani kehilangan tanahnya 
Tanah-tanah digunung sudah menjadi milik orang-orang dikota
Perkebunan yang luas hanya menguntung 
segolongan yang kecil sajaha
Alat-alat kemajuan yang diimpot
Tidak cocok buat petani yang sempit tanahnya

Tentu saja kita bertanya
Maksud baik sudara untuk siapa
Kita mahasiswa tidak buta 
Sekarang matahari semakin tinggi
Lalu akan bertahta juga diatas puncak kepala
Dan didalam udara yang panas

Kita juga bertanya
Kita ini dididik memihak yang mana
Ilmu yang diajarkan disini
Akan jadi alat pembebasan ataukah jadi alat penindasan
Kita menuntut jawapan 
Sebentar lagi matahari akan tenggelam
Dan malam tiba
Cicak-cicak menyanyi ditembuk
Rembulan berlayar

Tetapi pertanyaan kita tidak akan mereda
Ia akan muncul didalam mimpi
Akan tumbuh dikebun belakang
Dan esuk hari matahari akan terbit lagi
Sentiasa hari baru akan menjelma

Pertanyaan-pertanyaan kita akan menjadi hutan
Atau masuk kekali ataukah akan menjadi ombak samudra

Tuesday 28 December 2010

ADA KEINDAHANNYA


 Dikala kau dan aku pecah berkaca
 kita mengatur langkah jarak berbeza
 meninggalkan noda dan titik hitam
 titik hitam itu ada keindahannya

 ketika engkau ku lihat berbelaian tangan
 menapak romantis dalam paungan
 mata bertentangan senyum keriangan
 walaupun kau bukan kekasihku lagi
 bukan kekasihku itu ada keindahannya

 Waktu aku hidup sangat derita
 tiada pernah simpati sesiapa
 sedang semuanya cuba melupa
 bila aku  melepasi penderitaan itu
 derita itu ada keindahannya

 Seringkali kali aku menangis didalam hati
 menahan kekejaman dari ganas manusia
 takdir menyertai tindakan manusia
 kekejaman manusia itu ada keindahannya. 


kuala lumpur 28Disember 2010



Saturday 25 December 2010

MENANTI MALAM


Sayang...
Semoga kau riang gembira dalam suasana remajamu bersama awan, mengusap rambutmu bersama angin, meramas jari-jemari halusmu bersama senja, lantas menutup kedua pelupuk mataku bersama dingin, gelap malam jauh.

Malam ini kau datang lagi sayang?... sesungguh aku tidak gamak mengakui bahawa ada sesuatu yang sangat keras berpintal dilidahku untuk ku bisikan ketelingamu.

Aku pun mendalami, sayup disudut hatimu terbenam sesuatu yang kau coba sembunyikan. Iya...lebih baik untukku, andai kau tidak terkata apa. Aku akan mati berdiri jika kau katakan tidak !.

Tiada rumah pengadilan untuk aku adukan, melainkan pada gelap malam siburung tukang yang lena dikesiangan.

Sayang...kiranya begitu lebih baik aku begini terus. Merentasi hari-hari mendatang. Tanpa tujuan dan tampa hala, seperti ada kapal ditengah lautan dilanda badai.

Sayang...sesungguhnya dibawah selimut remang matahari pagi aku yang kesiangan mengharap mimpi bersamamu terulang lagi... 



Thursday 14 October 2010

AKU TERGURIS



 
Bila kau katakan aku ini segak
aku tersenyum menerimanya... aku memeriksa ungkapanmu
dari mulutmu hatimu atau akalmu... aku bimbang manisan dari mulutmu

Ketika kau katakan aku bergaya... aku tetap lagi terbuka
lalu aku memeriksa diriku...dari mana menjelma daya itu
aku bimbang datang dari riak... sedangkan aku melarikan diri jauh riak kalbu

Dimasa kau katakan aku bijak... aku rasa atas angkasa  lantas
Aku memeriksa fikiranku...Idea mana yang pernah menerangi aras
 Aku bimbang datangnya dari  lagak  otak
sedangkan aku pun jalan tunduk teragak-agak

Dikala kau katakan kau  melayu nasionalis... aku amat rasa terguris
kerana setelah aku memeriksa dirimu... belum layak kau duduk sebaris
tutur bahasamu belum mengenal baris
latar  mimpi lenamu masih lagi ditanah Inggeris

Kuala Lumpur.141010

Sunday 3 October 2010

MANA BOLEH KUTEMUI MELAYU

                                                                                              mawar biru
Mana boleh kutemui melayu,
Dikelab malam, disko dan dangdut kiambang biru,
Mana boleh kutemui Melayu,
Dilorong gelap jadi kupu-kupu
Mana boleh kutemui Melayu,
Merempit di jalan lurus di malam minggu,
Mana boleh kutemui melayu,
Di Jom Heboh dan pameran hantu,
Mana boleh kutemui melayu,
Di PWTC mesyuarat agung ampu mengampu
Mana boleh kutemui melayu,
di pasar malam dan juga pasar minggu,
mana boleh kutemui melayu,
di kedai mamak, melepak sambil tengok video haru biru,
mana boleh kutemui melayu,
di sungai buloh, dulunya penjara pudu..
cukuplah takat ni dulu...

SALAM HORMAT:
SOBRI SUDIN.
Sumber: KEDAH TIMES


AeminEdia said... 



Di mana boleh cari ramai Melayu
Pastinya di Kelantan dan Terengganu
Dan juga di pasar malam dan pasar minggu
Di Akademi Fantasia dan Pesta Lagu
Di Jom Heboh orang Melayu berpusu-pusu
Di Sungai Buloh, pusat pemuilihan, dulu di Pudu
Dan di jalan, lumba haram, rempit tak berlampu
Dan di selekoh duit rasuah depa pun sapu
Di pusat serenti akibat ketagih dadah dan chandu
Di malam kemerdekaan dan malam tahun baru
Terkinja-kinja best giler menari macam hantu

Apa hobi orang Melayu
Terkenal dengan budaya malas dan lesu
Berlepak buang masa tak jemu-jemu
Atau baca majalah Mastika, Metro pasal cerita hantu
Tengok telenovela dari Filipina dan Peru
Berpusu-pusu pergi tengok pamiran hantu
Sambil makan junk food, kuaci dan muruku
Sibuk bercerita tentang Datuk K dapat bini baru
Apa pakaian Siti nak pakai itu yang nak tahu
Mana tak gendut berpenyakit selalu
Kalau nak berlagak melayu masih nombor satu
Asal bergaya sanggup makan nasi dan toyu

Boleh tak jumpa mereka di kedai buku
Atau di perpustakaan dan majlis ilmu
Atau ambil kelas kemahiran di hujung minggu
Ada tapi kurang sangat mereka di situ
Kenapa melayu jadi begitu
Nak salahkan siapa ibubapa atau guru
Pemimpin negara atau raja dulu-dulu
Ayat lazim di mulut ialah Melayu malas selalu
Nak harap Kerajaan saja membantu
Terutama sekali kontraktor kelas satu
Tak habis-habis gaduh nak jatuh siapa dulu
pasal jambatan senggek atau siapa dia penghulu
Dan suka sanggat dengan budaya ampu mengampu

Sampai bila kita nak tunggu
Bangsa Melayu jadi bangsa yang maju
Boleh! dengan beberapa syarat tertentu
Pertama dengan banyak menguasai ilmu
Kata nabi ikutlah Quran dan sunnah ku
AlQuran yang diturunkan 1400 tahun dahulu
tapi apa yang kita tahu, cuma baca bila nak halau hantu


--- No Body Knows It But Me ---

nota : cek pun tak tau sapa buat karangan nie
cek terjumpa cek letakler dalam blog ni .... naaa aiiiiii

Sunday 26 September 2010

BANGSA PANGSA


                   Beginilah jika bangsa dan alam dicagar untuk kuasa


SATU BANGSA TIGA PANGSA
tiga pangsa berpangsa pangsa
penuh biji dalam pangsa
berpangsa pangsa lain bangsa
berpangsa pangsa lain bahasa
berpangsa pangsa tidak tahu berbahasa
semua semua mahu berkuasa
semua semua merebut kuasa
sampai malu mengaku bangsa
sampai malu cakap bahasa
enam puluh tiga tahun merdeka tidak pandai bahasa
sengaja buat pelat bahasa
ada yang gadai bangsa
ada yang jual bangsa
ada yang judikan bangsa
ada yang khianat bangsa
ada yang cagarkan bangsa
bangsa sudah menjadi mangsa
mangsa demi mangsa
pecah berpangsa pangsa
mabuk kuasa
gila kuasa
AKHIRNYA SEMUA HILANG KUASA

HILANGNYA DUNIA MELAYU



Aku kerawa besar kerana tubuhku yang kering boleh menghalau penjajah gagah dari semenanjung ini.

Aku ketawa penjajah lari lintang pukang takutkan semangat bangsaku membujur lalu melintang patah.

Aku ketawa besar bila aku tidak tahu membaca tetapi boleh bergabung memerdekakan negeri ini.

Aku ketawa kerana aku akan tinggalkan yang terbaik untuk anak cucu dan warisanku.

Aku ketawa kerana teringat kata-kata Hang tuah melayu tidak akan hilang didunia.

Aku ketawa kerana melihat wajah menteri melayu, kian berjaya membuat dasar membasmi kemiskinan kemelaratan bangsa ku.

Aku ketawa kerana buta huruf sepertiku sudah ditelan zaman, bangsa ku sudah berteknologi tinggi dan IT.

TAPI... belum sempat aku mati aku melihat dengan mata kepalaku sendiri pemimpin melayu membeli undi. Sibuk mencari duit bergundi. Tidak sedar diri. Kepentingan diri. sombong dan membangga diri. Jika ditegur seperti mencurah air kedaun keladi. Semakin ditegur semakin menjadi.

Aku mula meneteskan air mata pilihan raya hilang lima negeri.

Aku menangis bila melayu mula hilang dunianya sendiri.

Aku mula gigil kehancuran melayu semakin ngeri.

Saturday 25 September 2010

PEMBUKA JENDELA


Salam mesra. Cita-cita untuk menyertai alam maya sekian lama termakbul. Bolehlah kita berinteraksi buat bertukar fikiran. Lain padang lain belalang.

Jendela cagar alam kian renggang terlepas dari kancing. Cahaya matahari pagi  menerjah anak mata kesilauan. Diluar terdengar tangisan anak dihalaman berebut sebiji cucur pisang lebihan bapak buat bekalan jauh kebun  belakang. 

Pagi ini tersirap darah bila dilembaran akhbar ada melayu yang malu mengaku bangsa.  Dicorong radio terdengar ingatan dari negarawan memberi ingat melayu akan hilang kuasa.

Semalam, meramas jari bila dikaca tv ada pemimpin mengatakan Allah itu untuk semua agama. Dada kian panas bila dia mengatakan  tanah air ini melayu pendatang.

Semalam juga jantung jadi kencang bila melayu menadah tangan dari kafir didalam masjid minta ikhsan dua tin susu, sekilo gula dan sebungkus teh untuk minuman iman dan bilal selepas mengamin doa asar dan senja.

Kemarin, darah tersirap bila satu himpunan mengatakan melayu tidak perlu dibantu lagi. Kemarin juga, lutut lemah bila seorang pengkhianat mendakwa negara ini sudah ditangannya 16 September.

Hati sentiasa menangis bila melihat bangsa retak seribu gulungan gila kuasa memutuskan salaturrahim. Benak membayang bangsa ini akan menjadi pengemis ditanah air sendiri.

Tanah menjadi milik orang. Menepuk kepala sesal  sesal...  sesal. Air mata darah sekalipun tidak akan kembali. Kesal melayu bangsa yang mudah lupa.